Pengenalan

Carica papaya - juga dikenali sebagai pepaya atau pawpaw - adalah sejenis pokok tropika yang banyak tumbuh secara liar ataupun ditanam secara komersial di Malaysia dan rantau sekitarnya.

Hari ini, betik adalah salah satu tanaman yang paling banyak diusahakan di dunia. 

Buah, biji, dan daunnya sering digunakan dalam berbagai bidang termasuklah perubatan, makanan, masakan, kecantikan dan lain lain . 

Daun betik mengandungi komponen unik yang menunjukkan potensi perubatan yang luas dalam eksperimen tabung uji dan kajian ke atas haiwan. 

Walaupun ujian ke atas manusia masih kurang, tetapi telah banyak aplikasi dan kegunaan daun betik, seperti dibuat teh, ekstrak, kapsul, dan jus.

Ia sering digunakan untuk merawat penyakit dan meningkatkan kesihatan dengan pelbagai cara. 


7 Khasiat Daun Betik Untuk Kesihatan


1. Boleh merawat gejala yang berkaitan dengan demam denggi


Tanda Tanda & Gejala Demam Denggi - Sumber KKM

Salah satu manfaat perubatan daun betik yang paling menonjol adalah potensinya untuk merawat gejala demam denggi

Denggi adalah virus bawaan nyamuk Aedes yang dapat menjangkiti badan manusia dan menyebabkan gejala seperti selesema, demam, keletihan, sakit kepala, mual, muntah, dan ruam kulit (1). 

Kes demam denggi tahap yang teruk boleh menyebabkan penurunan kadar platelet dalam darah. Tahap platelet yang rendah dapat menyumbang kepada peningkatan risiko pendarahan dan berpotensi membawa maut jika tidak dirawat.

Walaupun pada masa ini tidak ada penawar khusus untuk denggi, namun ada kaedah rawatan alternatif untuk mengatasi simptomnya - salah satunya adalah dengan pengambilan daun betik. 

Tiga kajian klinikal telah dilakukan keatas manusia yang melibatkan ratusan pesakit demam denggi, hasilnya mendapati bahawa  daun betik dapat meningkatkan kadar platelet darah secara signifikan. (2,3,4). 

Tambahan lagi, rawatan daun betik untuk demam denggi ini mempunyai sangat sedikit peratusan kesan sampingan dan hasilnya didapati jauh lebih efektif daripada rawatan konvensional. 

Kesimpulan: Kajian mendapati bahawa daun betik dapat meningkatkan kadar platelet darah pada pesakit demam denggi.


2. Boleh seimbangkan kadar gula dalam darah


Tanda & Gejala Diabetes - Sumber KKM

Daun betik sering digunakan oleh orang Mexico sebagai rawatan tradisional semula jadi untuk mengubati diabetes dan kawalan gula darah (5). 

Kajian telah dilakukan kepada tikus yang dijadikan diabetes, hasilnya mendapati ekstrak daun betik mempunyai kesan antioksidan dan penurunan gula dalam darah. Ini dikaitkan dengan kemampuan daun betik untuk melindungi sel penghasil insulin di pankreas daripada kerosakan dan kematian pramatang (5,6).

Namun, tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa kesan yang sama atau serupa mungkin berlaku pada manusia. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan sama ada daun betik dapat digunakan untuk membantu menguruskan kadar gula darah tinggi pada manusia.

Kesimpulan: Daun betik digunakan dalam amalan perubatan tradisional untuk merawat diabetes dan kadar gula dalam darah. Walaupun kajian haiwan menunjukkan bahawa daun betik mempunyai kesan menurunkan gula dalam darah, belum ada kajian pada manusia yang menyokong penggunaannya untuk tujuan ini.


3. Boleh menguatkan fungsi sistem pencernaan perut & usus.

Jenis masalah pencernaan perut dan usus

Teh dan ekstrak daun betik sering digunakan sebagai terapi alternatif untuk mengurangkan gejala pencernaan perut yang tidak selesa: contohnya seperti gas, kembung, dan pedih ulu hati.

Daun betik mengandungi serat (fiber) dan sebatian unik yang disebut papain. Papain adalah nutrien  yang akan menyokong fungsi pencernaan supaya lebih sihat (7).

Papain terkenal dengan kemampuannya memecah protein besar menjadi protein serta asid amino yang lebih kecil dan mudah dicerna. Ia bahkan digunakan sebagai bahan untuk melembutkan daging dalam masakan.

Satu kajian mendapati bahawa penggunaan serbuk papain yang bersumber dari buah betik mengurangkan gejala pencernaan tidak sihat, termasuk sembelit dan pedih ulu hati, terutamanya pada orang yang mempunyai sindrom iritasi usus (IBS) (8).

Sehingga kini, belum ada kajian saintifik yang secara khusus yang menilai kemampuan daun betik untuk merawat masalah gangguan sistem pencernaan perut & usus.

Kesimpulan: Nutrien dan sebatian dalam daun pepaya dapat meredakan gangguan pencernaan.


4. Mempunyai kesan anti-radang

Kesan Keradangan Kepada Badan

Daun betik sering digunakan untuk mengatasi pelbagai masalah keradangan anggota dalaman dan luaran, antaranya adalah ruam kulit, sakit otot, dan sakit sendi.

Daun betik mengandungi pelbagai nutrien dan sebatian tumbuhan dengan potensi manfaat anti-radang, seperti papain, flavonoid, dan vitamin E (7, 9, 10).

Satu kajian mendapati bahawa ekstrak daun betik mengurangkan keradangan dan pembengkakan pada kaki tikus dengan artritis (masalah sendi) (11).

Namun, belum ada kajian keatas manusia yang mengesahkan hasil ini.

Kesimpulan: Daun betik mengandungi sebatian yang berpotensi memberi kesan anti-radang.


5. Boleh menyokong pertumbuhan rambut


Menjadikan daun betik sebagai perawat rambut berpotensi untuk meningkatkan pertumbuhan rambut dan kesihatan kulit kepala.

Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa tahap tekanan oksidatif yang tinggi dalam badan boleh menyumbang kepada keguguran rambut. Makan makanan yang kaya dengan antioksidan dapat membantu mengurangkan tekanan oksidatif dan seterusnya meningkatkan pertumbuhan rambut (12).

Daun betik mengandungi beberapa sebatian dengan sifat antioksidan, seperti flavonoid dan vitamin E (10).

Kelimumur diatas kepala yang disebabkan oleh pertumbuhan kulat  yang disebut 'Malassezia', dipercayai boleh menghalang pertumbuhan rambut (13).

Daun betik telah menunjukkan sifat anti-kulat dalam kajian tabung uji, ia lebih sering dilihat berpotensi menyokong kesihatan rambut dan kulit kepala dengan menghalang pertumbuhan kulat penyebab kelemumur melalui pengambilan oral (14).

Namun, daun betik belum diuji secara khusus terhadap Malassezia.

Kesimpulan: Daun betik sering digunakan secara topikal untuk mendorong pertumbuhan rambut dan menyokong kesihatan kulit kepala.

6. Boleh menjadikan kulit lebih sihat


Daun betik sering dimakan atau digunakan secara kosmetik  untuk menjaga kulit yang lembut, cerah, dan awet muda.

Enzim pelarut protein dalam daun betik yang disebut papain dapat digunakan secara kosmetik sebagai pengelupasan kulit untuk menghilangkan sel-sel kulit mati dan berpotensi mengurangkan terjadinya pori-pori tersumbat, rambut yang tumbuh ke dalam, dan jerawat.

Lebih-lebih lagi, enzim daun pepaya telah digunakan untuk penyembuhan luka, dan satu kajian mendapati khasiat daun betik dapat mengurangkan kesan parut pada  bekas luka arnab (15,16).

Kesimpulan: Enzim pada daun betik dapat bertindak sebagai pengelupas untuk membuang sel kulit mati, mencegah jerawat, dan berpotensi meminimumkan penampilan parut.


7. Mungkin mempunyai sifat anti-kanser

Daun betik telah digunakan dalam praktik perubatan tradisional untuk mencegah dan merawat beberapa jenis barah tertentu, tetapi penyelidikan klinikal masih kurang.

Ekstrak daun betik telah menunjukkan kemampuan yang kuat untuk mengurangkan pertumbuhan sel-sel kanser prostat dan payudara dalam kajian tabung uji, tetapi belum ada percubaan keatas haiwan dan manusia yang membuktikan hasil ini (17,18).

Walaupun memakan daun betik serta makanan kaya antioksidan lain mempunyai potensi dalam pencegahan terjadinya barah dan kanser, namun ia belum terbukti mempunyai kemampuan untuk penyembuhan penyakit ini (19).

Kesimpulan: Kajian tabung uji mendapati bahawa ekstrak daun pepaya dapat menghalang pertumbuhan sel barah, tetapi kajian pada manusia masih kurang.